Monday, August 29, 2016


NILAI MASYARAKAT MALAYSIA...







NIROSHA A/P SELVADURAI
16DPM15F2021


YOGESWARY A/P MARIMUTHU

16DPM15F2018


Amalan Tolak Ansur dan Toleransi Dalam Masyarakat Menjamin Keharmonian Sejagat...



PENDAHULUAN:

Masyarakat Semenanjung Malaysia khasnya dan Malaysia amnya selalu dianggap sebagai sebuah masyarakat majmuk atau masyarakat berbilang kaum.Tiga etnik terbesar ialah Melayu, Cina dan India yang mana mengamalkan kebudayaan adat resam, agama dan bahasa masing-masing. Setiap kaum mempunyai keperibadian budaya tersendiri yang dikekalkan. Tiga etnik ini bersatu di atas satu ikatan kerakyatan dan di bawah sebuah pemerintahan demokrasi beraja berperlembagaan dengan satu cara hidup yang dipersetujui bersama.Kewujudan pelbagai suku kaum dan etnik di Malaysia menjadikan negara ini sebuah negara yang unik.Setiap kaum memiliki asas kebudayaan yang tersendiri seperti agama,kepercayaan dan adat resam tersendiri.Setiap kaum diberi kebebasan untuk mengamalkan kebudayaan masing-masing di samping menghormati kebudayaan kaum-kaum lain.
Sehubungan dengan itu, nilai toleransi mesti diamalkan oleh setiap warganegara supaya keamanan dan keharmonian dalam negara tercapai. Dalam masyarakat yang majmuk ini, sikap bertolak ansur sesama bangsa dan agama yang berlainan amat dititikberatkan supaya pertelingkahan antara kaum tidak wujud. Dengan ini, rakyat pelbagai kaum boleh bebas mengamalkan idea, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu negara.


Selain itu, setiap warganegara harus mengawal perkataan dan kelakuan diri pada bila-bila masa supaya tidak meyentuh isu sensitif seperti hak-hak dan kedudukan raja, agama, kewarganegaraan dan hak-hak istimewa bumiputera. Inilah untuk menjamin kesejahteraan Negara sejagat.Tambahan pula, setiap warganegara harus selalu hidup bersama secara aman. Contohnya,Masyarakat patut hidup berbaik-baik antara satu sama lain supaya Negara kita dapat mencapai perpaduan kaum dan berkembang maju.

RUJUKAN:


 Internet

8&fl=0&meta=0&0&0=&b=101&u=www.islamhadhari.net/v2/seminar/seminar_detail.php%3Fnkid%3D9&w=identiti+nasional+bangsa+malaysia&d=KnwCl21aMJ1N&icp=1&.intl=mye

 Mari bersama-sama menonton video ini...






Peranan yang telah kerajaan lakukan dalam mengekalkan perpaduan adalah seperti berikut:

1)DASAR SATU MALAYSIA


Konsep satu  Malaysia  dijelaskan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib  Tun Abdul Razak sebagai, “Kita berdiri, kita  berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”
Dasar ini dibentuk bagi tujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang meneruskan nilai-nilai perpaduan dan sifat hormat-menghormati antara kaum dan agama serta melaksanakan kehidupan sebagai rakyat Malaysia bukan berdasarkan kaum atau agama tertentu. Mereka perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing agar bertindak tanpa memikirkan kepentingan etnik dan kaum masing-masing.Dasar ini juga menegaskan agar setiap tindakan yang hendak dilaksanakan perlu berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara ini terutama peranan pemimpin yang perlu menangani semua permasalahan dan tuntutan keperluan serta hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

Dasar ini dibentuk sebagai pelan tindakan para pemimpin dalam melaksanakan tugas kepimpinannya. Ia membawa matlamat untuk mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat yang menjadi tunggak kekuatan Malaysia dan mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat melalui slogan, “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.”
Sebagai merealisasikan hasrat dan matlamat ini, Satu Malaysia digerakkan berdasarkan tiga prinsip teras iaitu prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip teras ini penting untuk tujuan memperkukuhkan perpaduan nasional. Penekanan terhadap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum dan penerimaan keunikan pelbagai kaum akan mewujudkan sifat hormat-menghormati antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia. Prinsip kenegaraan pula menerapkan semangat perpaduan, semangat nasionalisme dan semangat cinta akan negara sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara sejak sekian lama. Manakala prinsip keadilan pula membela nasib semua kaum serta mengambil kira taraf kemajuan kaum yang berada pada tahap yang berbeza agar pembelaan yang sewajarnya diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Ketiga-tiga prinsip tersebut mendasari konsep Satu Malaysia dan memerlukan pemimpin yang sentiasa mengamalkan lapan prinsip kepimpinan iaitu mewujudkan budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. 

2)Rukun Negara sebagai strategi Pemantapan Perpaduan

Cara yang bernas untuk mengekalkan perpaduan negara agar peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tidak berulang lagi adalah dengan meningkatkan penghayatan Rukun Negara. Selepas peristiwa tersebut bagi mengelakkan peristiwa tersebut berulang Tun Abdul Razak Perdana Menteri yang kedua ketika itu telah memperkenalkan Rukun Negara. Pihak yang bertanggungjawab merangka Rukun Negara ialah Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan Tun Abdul Razak yang selepas itu menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua. Dengan adanya Rukun Negara, masyarakat yang sedang berpecah-belah ketika itu ekoran perselisihan kaum mampu bersatu-padu dan membina semula negara sehingga ke tahap hari ini.  Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara. Terdapat lima prinsip dalam Rukun Negara tersebut. Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Cuba kita hayati apakah maksud sebenar yang terselit disebalik Rukun Negara tersebut.

Pertama, prinsip Kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan prinsip penting kehidupan rakyat di negara kita. Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di negara ini. Ini adalah kerana agama telah menjadi unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat kita.
Di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangun “pemikiran luhur” dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.
Setiap penganut  agama sewajarnya menjadikan  agama masing-masing sebagai asas membina  keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan. Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi

Kedua, prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Di negara kita, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini adalah kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah  ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.
Justeru, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah “payung negara” yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh  atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.

Ketiga, prinsip Keluhuran perlembagaan. Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau perlembagaan itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang  seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan. 
Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian perlembagaan ialah badan kehakiman. Badan ini berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.

Keempat, prinsip Kedaulatan undang-undang. Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur. Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar. Kedaulatan undang-undang  bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan (status sosial).
Oleh itu, keadilan merupakan elemen penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.Kuasa kedaulatan dalam konteks undang-undang adalah merujuk kepada autoriti perundagan ynag paling tinggi iaitu Perlembagaan Negara. Badan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang pula dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Ini penting bagi menjamin kebebasan asasi semua warganegara Malaysia.

Kelima.prinsip Kesopanan dan Kesusilaan.Hasrat prinsip ini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa bersopan santun dan penuh tatasusila.Prinsip ini juga menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat.Kesopanan dan kesusilaan ini juga berkaitan dengan tutur kata seseorang dan prinsip ini dapat menjamin bahasa yang lembut dan perbuatan yang halus untuk menjamin hubungan baik sesama kaum terus kekal.
Hubungan baik ini juga boleh terjamin sekiranya rakyat sentiasa berakhlak mulia, menghormati orang lain, mengelakkan diri daripada menyentuh hal-hal yang sensitive   dan perkara-perkarayang telah dipersetujui majoriti.Pembentukkan masyarakat berbilang kaum yang harmoni dapat dilahirkan sekiranya setiap individu dalam masyarakat boleh berpegang teguh kepada prinsip kelima ini.
RUJUKAN:
-:Dr. Tajul Ariffin bin Nordin dan Dr. Nor’Ain bte Dan (1992) Pendidikan Dan Wawasan 2020   Falsafah, Perguruan dan Persekolahan. Kuala Lumpur : Arena Ilmu Sdn. Bhd.
-:Ee Ah Meng (1996) Pendidikan Moral (Elektif) Edisi Kedua. Shah Alam : Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

-:Joginder Singh Jessy (1979) Sejarah Tanah Melayu (1400 – 1959). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Amalan mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian agama:



Mengamalkan sikap perpaduan dalam perhubungan

Perpaduan merupakan isu yang boleh dilihat dari pelbagai dimensi. Peranannya merangkumi sistem nilai, psikologi, perasaan, sikap, pemikiran dan tingkah-laku setiap individu. Faktor agama pula bertindak sebagai pencorak dalam mengaplikasikan unsur-unsur tersebut dalam kehidupan masyarakat. Terdapat lima tamadun besar yang berkembang di Malaysia iaitu Tamadun Melayu, Tamadun India, Tamadun Cina, Tamadun Barat dan Tamadun Islam.Dalam kata erti lain iaitu agama Islam, agama Hindu, agama Buddha, agama Kristian dan lain-lain. Kesemua tamadun dan agama ini bergerak dan membina pengaruhnya dalam kehidupan bangsa yang mendokonginya. Hal ini bukan sahaja membentuk struktur pemikiran dan kebudayaan pelbagai kaum tersebut bahkan telah membentuk perspektif moral dan kepercayaan mereka.


Walaupun mempunyai kepelbagaian dari segi ideologi, kepercayaan, kebudayaan dan tradisi sesuatu bangsa, kita melihat adanya persamaan dari aspek nilai dan norma  yang boleh dikongsi bersama bagi memupuk perpaduan. Garis persamaan yang terdapat antara seorang manusia dengan manusia yang lain walau berbeza agama ini jika ditekankan akan mampu mencapai dan mempertingkatkan nilai perpaduan dalam masyarakat. Antara nilai-nilai yang ada adalah sikap toleransi, sikap bersederhana, berkasih-sayang dalam hubungan kemanusiaan, dan kemesraan.Hubungan kasih-sayang dan bersederhana dalam kehidupan contohnya merupakan aspek nilai yang wujud dalam setiap kebudayaan bangsa. Setiap agama telah mengajarkan etika hubungan sesama manusia yang menekankan kesederhanaan dan nilai kasih sayang untuk semua manusia. Malah sifat ini akan melahirkan sifat tolong-menolong, suka melakukan amal kebajikan dan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk memenuhi tuntutan masyarakat.


Islam juga melihat perhubungan sesama manusia sebagai sebahagian daripada ibadat. Dasar perhubungan antara manusia ditekankan dalam mewujudkan persaudaraan, bekerjasama dan sikap saling bantu-membantu. Permusuhan, konflik dan persaingan yang tidak adil perlu dibendung untuk mengelakkan pertelagahan bagi mengukuhkan perdamaian dalam hubungan antara manusia (hablum min al-nas). Ini kerana semua manusia itu adalah makhluk yang berpunca dari penciptaan yang sama iaitu Adam. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, “Wahai manusia! Allah telah menghapuskan rasa besar diri yang dipertahankan oleh sesetengah orang di zaman Jahiliyah dan telah membasmikan sebarang penonjolan ketinggian martabat yang disandarkan kepada keturunan. Sesungguhnya hanya dua jenis manusia sahaja: orang yang baik disanjung oleh Allah dan orang yang jahat yang dihina di sisi Allah. Semua manusia adalah anak Adam dan Allah telah menjadikan Adam daripada tanah liat.”


Konsep kenal-mengenal antara manusia yang pelbagai bangsa dan kaum merupakan dasar pemupukan perpaduan kerana di dalamnya terkandung nilai kebebasan beragama, hak untuk menikmati keselamatan, keadilan, dan perundingan. Persamaan nilai ini merupakan prinsip yang universal dan semua kaum menerimanya serta mampu dijadikan asas untuk memupuk perpaduan.

                                                Mengamalkan toleransi dalam pergaulan.


Toleransi merupakan amalan dan persiapan masyarakat Malaysia untuk bersedia hidup bersama dalam keadaan aman damai. Toleransi dalam konteks bangsa dan agama bererti setiap ahli masyarakat berhak untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian, dan melaksanakan ajaran agama masing-masing serta mengamalkannya tanpa halangan. Semua penganut agama di sisi undang-undang Negara adalah sama.


Rasulullah SAW ketika berpindah ke Madinah berhadapan dengan pelbagai bangsa dan agama.  Umat Islam ketika itu merupakan golongan minoriti sementara golongan bukan Islam yang terdiri dari orang Yahudi, Arab Kristian dan Arab Musyrik adalah golongan majority. Nabi Muhammad SAW yang dilantik sebagai pemimpin tidak memaksa orang bukan Islam supaya memeluk Islam. Tetapi mereka diajak untuk hidup bersama secara aman dan damai, tanpa sebarang kezaliman dan penindasan. Situasi ini menunjukkan tentang sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Malah apabila baginda berjaya menawan kembali Mekah, penduduk-penduduk Mekah juga tidak dipaksa memeluk agama Islam malah boleh meneruskan kehidupan seharian mereka tanpa sebarang halangan.


Islam tidak melarang masyarakat Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang lain selagi mereka tidak memerangi umat Islam kerana agama. Al-Quran menjelaskan bahawa peperangan dan penentangan yang dibenarkan dalam Islam adalah untuk tujuan mempertahankan diri, kehormatan, harta, keturunan dan agama sahaja. Perkara ini ditekankan dalam Surah al-Haj 22 ayat 39 yang bermaksud, “Diizinkan berperang bagi orang Islam yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan), iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar semata-mata kerana berkata, “Tuhan kami ialah Allah” Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kristian) dan tempat sembahyang (Yahudi) dan Masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah di dalamnya dan sesungguhnya Allah akan menolong siapa yang menolong agamanya (Islam) sesungguhnya Allah Maha Kuat dan Maha Kuasa.”
Sifat tasammuh yang ada dalam Islam tidak semata-mata merujuk kepada toleransi yang dinyatakan. Ia memberi maksud memberi dan menerima. Dengan erti kata lain, Islam tidak menghalang manusia untuk menerima pendapat dan pendirian orang lain serta tidak menyekat kebebasan manusia untuk berfikir dan berkepercayaan. Islam amat mementingkan sikap toleransi sebagai menunjukkan sikap keterbukaan dalam mendengar pandangan yang berbeza serta bebas juga mengemukakan pandangan selagi tidak menjejaskan pegangan agama masing-masing dalam ruang lingkup yang dipersetujui bersama.


Sifat toleransi ini merupakan syarat bagi setiap ahli masyarakat majmuk yang menginginkan kehidupan yang aman dan tenteram. Apabila wujud interaksi dan persefahaman yang baik dalam kalangan masyarakat beragama dan berlainan budaya ini, ia akan membentuk masyarakat yang harmonis. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ankabut 29 ayat 46 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang baik.” 


Orang Islam di Malaysia sudah menunjukkan sikap toleransi sejak pembentukan Perlembagaan 1957. Sifat tolak ansur dan persefahaman antara kaum telah membentuk sebuah Negara yang bersatu padu dengan syarat kerakyatan yang longgar kepada warga bukan Melayu dan keistimewaan orang Melayu mengikut perlembagaan sejajar dengan hakikat orang Melayu sebagai tuan Negara ini. Tolak ansur dan kelonggaran kerakyatan merupakan keuntungan yang besar kepada pihak bukan Melayu kerana selepas setahun Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, seramai 800,000 orang bukan Melayu telah diterima sebagai warganegara.


Sikap toleransi di kalangan orang Melayu terus diamalkan apabila orang bukan Melayu juga diberi ruang dan peluang untuk bergerak aktif dalam politik dan ekonomi Negara. Hal ini mewujudkan keseimbangan antara kaum dan mewujudkan kesamarataan sosial serta melahirkan sifat perlumbaan secara adil serta mengurangkan diskriminasi dan konflik antara kaum yang ada. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat perlu berpegang teguh kepada asas persetujuan ini dan sentiasa menanamkan nilai faham-memahami dan hormat-menghormati.

                    Menyemai  pergaualan dengan persefahaman dan sifat hormat-menghormati


Masyarakat majmuk di Malaysia mempunyai pelbagai adat dan budaya yang tersendiri. Kepelbagaian adat dan budaya ini menjadikan Malaysia menjadi Negara yang istimewa sama ada dari aspek berpakaian, makanan, pantang –larang dan cara hidup serta amalan keagamaan. Oleh itu, bagi memastikan kepelbagaian ini dapat dilangsungkan dengan murni dan bebas, setiap kaum dan bangsa perlu kepada saling memahami keperluan masing-masing.


Persefahaman dalam masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama ini adalah penting untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan kaum. Sensitiviti setiap agama dan bangsa perlu didedahkan agar masing-masing faham-memahami tuntutan agama masing-masing dan pantang larang adat kaum masing-masing. Pendedahan ini boleh dilakukan melalui sistem pendidikan, media dan berdialog mengikut batas-batas yang tertentu.


Allah berfirman dalam Surah al-Muntahanah, 60 ayat 8 yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu: kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”Ayat di atas memperlihatkan bagaimana Islam amat mementingkan hubungan antara manusia walaupun dengan orang yang bukan Islam sebagai cara mewujudkan keamanan Negara. Malah sikap adil dalam kehidupan ini merupakan aspek nilai sejagat yang perlu dikongsi bersama tanpa mengira agama dan bangsa.


Semua masyarakat di Malaysia ini perlu memberi ruang untuk berinteraksi dan berkomunikasi bagi berbincang mengenai nilai-nilai agama masing-masing. Mereka perlu berusaha untuk memahami realiti kehidupan beragama dalam masyarakat sama ada di kalangan masyarakat Islam mahupun masyarakat bukan Islam. Umat Islam sendiri tidak seharusnya memencilkan diri untuk berbincang tentang Islam hanya dalam kalangan umat Islam sahaja. Pendedahan terhadap nilai-nilai Islam perlu dijelaskan bagi membantu orang bukan Islam memahami nilai-nilai Islam yang universal itu dan menghormatinya sebagai agama rasmi Negara.

Rakyat Malaysia  yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat iaitu membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni bagi memudahkan pelaksanaan pembangunan negara. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
 RUJUKAN:
             
 -:Ranjit Singh Malhi (1985) Panduan Peperiksaan Am Kerajaan. Petaling Jaya : PKS Sdn. Bhd.

-:Rohani Ab. Ghani dan Zulhaimi Paidi (2002) Kenegaraan Malaysia Isu – Isi dan                Perkembangan. Pahang : PTS Publication & Distributors

 -:Shahril @ Chairil Marzuki dan Habib Mat Som (1999) Isu Pendidikan Di Malaysia, Sorotan    dan Cabaran. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Pengajaran yang boleh didapati dalam Amalan Tolak Ansur dan Toleransi Dalam Masyarakat:




Toleransi rakyat Malaysia banyak bergantung kepada sejauhmanakah situasi dan keadaan semasa di negara kita memerlukan kerjasama dan menguntungkan kaum-kaum yang terlibat. Ini jelas sekali apabila para pemimpin Tanah Melayu berjaya bergabung tenaga dan menubuhkan Parti Perikatan dan akhirnya memenangi pilihanraya 1955. Kejayaan ini memberi keyakinan kepada British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, keyakinan tersebut bukan merupakan jaminan kepada hubungan kaum yang ampuh apabila meletusnya Peristiwa 13 Mei 1969 kira-kira selepas 12 tahun Tanah Melayu merdeka. Peristiwa ini menunjukkan bahawa hubungan antara kaum di Malaysia rapuh, mudah pecah dan sangat sensitif kepada sebarang perkembangan dan kepentingan terutamanya kepentingan politik perkauman. Hancurlah toleransi dan perkauman kembali menular.Sikap dan tindakan yang tidak mendatangkan mudarat dan berbahaya kepada orang lain boleh membawa kepada suasana yang harmoni dalam masyarakat. Jika warna-warni itu sesuai dan elok kombinasinya atau muzik itu antara irama dan lagu selaras maka akan lahirlah keharmonian pada warna dan lagu. Apabila masyarakat hidup ramah mesra, bertolong bantu, belas kasihan, bertegur sapa, prihatin terhadap jiran, nasihat menasihati serta menjaga kepentingan dan hak orang lain sudah pasti masyarakat itu akan hidup dalam suasana harmoni.Sesebuah Negara yang menghadapi konflik dalaman akan menjejaskan status ekonomi dan tidak akan mencapai kemajuan. Oleh itu, setiap kaum mesti mengutamakan kedaimaian dan keharmonian hidup tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Rakyat yang selalu bersatu-padu penting dalam masyarakat majmuk seperti bak kata perkata “bersatu teguh, bercerai roboh”.Sebagai seorang rakyat yang cinta akan Negara, kita harus selalu bertolak ansur dan menghormati sesama kaum supaya konflik dalaman tidak wujud. Secara tidak langsung, rakyat yang perpaduan merupakan aset sesebuah Negara untuk mencapai kemajuan. 

RUJUKAN:

:-Tam Yeow Kwai (1996) Pendidikan Moral 1 Konsep dan Pengajaran Pendidikan Moral. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

:-ng Chee Yee (1993) Negara Kita Untuk Peperiksaan Am Kerajaan. Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd.


KONKLUSI:




Sikap dan tindakan yang tidak mendatangkan mudarat dan berbahaya kepada orang lain boleh membawa kepada suasana yang harmoni dalam masyarakat. Jika warna-warni itu sesuai dan elok kombinasinya atau muzik itu antara irama dan lagu selaras maka akan lahirlah keharmonian pada warna dan lagu. Apabila masyarakat hidup ramah mesra, bertolong bantu, belas kasihan, bertegur sapa, prihatin terhadap jiran, nasihat menasihati serta menjaga kepentingan dan hak orang lain sudah pasti masyarakat itu akan hidup dalam suasana harmoni.

 Konklusi yang dapat digambarkan ialah toleransi antara kaum di Malaysia masih ampuh dan kukuh hingga ke hari ini. Dengannya kemajuan negara dapat dinikmati dengan lebih baik oleh semua masyarakat. Masyarakat Malaysia dapat hidup aman dan damai serta hak – hak asasi setiap warga negara Malaysia terjamin untuk dikecapi. Namun keperkasaan toleransi masyarakat Malaysia perlulah sentiasa dikawal selia agar anasir – anasir yang cuba menghancurkan keutuhannya dapat disekat dengan lebih awal supaya pada setiap kali 31 Ogos menjelang, rakyat Malaysia dapat bangun dan bersorak dengan bangganya Merdeka !….Merdeka!….Merdeka!.

RUJUKAN

-:Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka

-:Dewan Budaya Mac, April dan Ogos 2004

-:Dewan Masyarakat Oktober 2005

-:Dewan Siswa September 2005